Tuesday, 5 February 2013

Kelebihan Membaca Al-Quran


Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, "Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran. Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran
dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah s.a.w berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat, lalu baginda berujar: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab mereka: “Kami duduk berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan Agama Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan hidayatnya. Ujar baginda: “Demi Allah, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi Allah, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Ujar baginda pula: “Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku masih meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku, bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”
Dalam satu riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka ujar baginda: “Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat Allah sedang menghujani kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu sekalian.”
Pernah satu ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."
Mendengar itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu , tempat orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."
Sebenarnya segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu."
Selain pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.
Sumber : www.irsyadiyah.edu.my

Adab - adab Membaca Al-Quran

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Entry kali ini Akademi Furqan ini berkongsi adab-adab membaca al-Quran. Antara adab-adab bagi orang yeng hendak membaca al-Quran adalah seperti berikut :

  • Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.
  • Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.

  • Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu' dan tenang.

  • Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.

  • Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta'awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta'awwudz.

  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.

  • Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.
  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.

  • Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.
Semoga kita dapat mempraktikkan adab-adab ini, agar nanti jangan al-Quran melaknat kembali orang yang membacanya.

Selain itu, dengan menjaga adab ini, mudah-mudahan kita mendapat berkat dan rahmat dari Allah SWT.